Anda suka blog ini?? Klik LIKE!!

Wednesday 8 May 2013

DEFINISI MEMBACA



Membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis (Harris dan Sipay, 1980). Proses membaca juga 
dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya.

Bagi Smitch dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca.

Di samping itu, Goodman (1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.


Membaca adalah asas pembentukan diri ke arah mendapatkan ilmu pengetahuan. Melalui aktiviti membaca, seseorang itu dapat menjadikan dirinya sebagai sumber rujukan sama ada kepada dirinya sendiri ataupun kepada orang lain. Hal ini selaras dengan perintah membaca dalam ayat pertama yang diwahyukan Tuhan kepada Nabi Muhammad. Selain itu, aktiviti membaca juga adalah kunci khazanah ke arah menentukan hidup seseorang, sama ada maju ataupun mundur kehidupan dan pemikirannya. Di samping itu, melalui aktiviti membaca, rakyat di sesebuah negara menjadi lebih matang dan progresif selaras dengan kemajuan negara. Kurangnya minat membaca menyebabkan rakyat dalam sesebuah negara itu lemah dalam pelbagai aspek, sama ada dalam aspek pelajaran ataupun kerjaya.

Membaca adalah aktiviti penting dalam hidup manusia. Ini kerana dengan membaca, pembaca dapat memperoleh maklumat dan ilmu yang dapat digunakan dalam pelbagai aspek. Pembaca adalah individu yang memperoleh sebahagian besar maklumat dan pemahaman berkenaan alam ini daripada bahan bertulis. Walaupun begitu, tidak semua perkara itu diperoleh daripada sumber bacaan kerana terdapat juga sumber yang diperoleh melalui pengamatan dan pengucapan.
           
      Pembacaan yang sebenarnya adalah proses yang dinamik yang memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara pembaca dan penulis. Oleh itu, membaca dikatakan sebagai proses yang aktif bagi membina makna daripada teks yang bertulis yang berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan pembaca. Membaca adalah bersifat dalaman, proses meental yang tidak dapat diperhatikan ataupun dikaji secara terus.



No comments:

Post a Comment

Wavy Tail