Anda suka blog ini?? Klik LIKE!!

Wednesday, 8 May 2013

masalah dalam membaca


MASALAH DALAM MEMBACA
1.      Faktor fizikal

·         Penglihatan
(a)    Juling- menggunakan (fokus) kedua-dua biji mata ke arah yang sama. Hal ini mengakibatkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya.
(b)   Rabun dekat- (myopia) tidak dapat melihat pada jarak yang jauh.
(c)    Rabun jauh- tidak dapat melihat bagi jarak yang dekat.
(d)   Astigmatism- penglihatan yang kabur berpunca daripada kurang fokus cahaya pada salah satu atau kedua-dua hujung retina.
(e)    Amblyopiks- satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.
Kesemua simptom ini akan mengakibatkan masalah kepada seseorang kanak-kanak untuk menggunakan penglihatan pada peringkat awal dalam kemahiran membaca iaitu mencerap imej huruf yang dipaparkan pada permukaan bertulis. Sekiranya pada peringkat awal ini susah dilakukan, maka kanak-kanak akan menghadapi masalah untuk meneruskan proses membaca pada peringkat seterusnya iaitu peringkat mendekod.
·         Persepsi penglihatan.
Pelajar yang mempunyai persepsi penglihatan yang bercelaru akan menyebabkan kesukaran untuk membaca. Sebahagian daripada simptomnya ialah:
(a)    Perkataan kelihatan seolah-olah percantuman huruf yang tidak bermakna, contoh musik menjadi msuki.
(b)   Huruf atau perkataan menjadi terbalik- contohnya b menjadi d, atau perkataan bas menjadi das.
(c)    Jika jenis percetakan atau saiz huruf bertukar, pelajar tidak dapat mengenal pasti huruf yang sebenar.
(d)   Satu perkataan kelihatan seperti imej cermin.
(e)    Pelajar yang tidak dapat membezakan suku kata.
Kesemua masalah penglihatan ini perlu diketahui perbezaannya supaya kanak-kanak yang bermasalah dapat diberikan rawatan yang betul. Kebanyakan masalah tidak berkeupayaan membaca dapat diselesaikan dengan memperbetulkan aspek penglihatan kerana faktor inilah tidak berkeupayaan membaca bermula.
·         Pendengaran (Auditori)
Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk belajar membaca. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan boleh dibantu dengan teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Mereka yang mempunyai masalah pendengaran turut akan mengalami masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Misalnya, kanak-kanak ini tidak boleh membezakan antara vokal a dengan vokal e, u dengan o, i dengan e. Kerencatan pendengaran juga terdapat dalam dua kategori iaitu kerencatan sementara dan kerencatan kekal.
·         Pertuturan
Punca masalah pertuturan (seperti  kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu, pertuturan spastik dan sebagainya) ialah masalah emosi, kelewatan pertumbuhan, kurang pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap, sumbing dan kecederaan otak atau sebahagian daripada otak. Namun, tidak semua punca masalah pertuturan ini boleh mengakibatkan masalah tidak berkeupayaan membaca. Jika ada pun kesannya ialah kesan tidak langsung iaitu kesan psikologikal.
2.      Faktor Neurologikal
Neurologi ialah kajian yang berkait dengan sistem saraf iaitu sistem saraf manusia termasuklah sistem dalam otak, tulang belakang, urat ganglia (tisu urat yang pelbagai) dan bahagian organ reseptor. Sebahagian daripada bahagian neurologi ini boleh memberikan kesan terhadap kebolehan membaca. Faktor neurologi berkait dengan masalah kesihatan diakibatkan oleh jangkitan kuman atau pra-kelahiran.
·         Kerosakan otak
Punca kerosakan otak disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau kesan bahan toksik yang mencemar otak atau bahagian otak. Kecederaan otak juga boleh berlaku sejak dilahirkan (pre-natal neurological disorder). Hal ini akan menyebabkan lesion atau perubahan yang luar biasa terhadap bentuk. Biasanya pengesanan terhadap kecederaan otak ini boleh dilakukan menerusi electroen cephalogram (EEC), tetapi tidak semua keputusan ujian EEC bertepatan walaupun disertakan dengan sejarah kelahiran.

·         Neurologi tidak berfungsi
Bahagian otak yang tidak berkembang sepenuhnya atau bahagian otak yang tertutup sebahagiannya sejak dilahirkan. Buta perkataan bagi orang dewasa juga boleh diakibatkan oleh serangan jantung. Hyperlexia ialah seseorang yang lambat perkembangan bahasa dan akal. Simptom ini juga boleh menyebabkan masalah tidak berkeupayaan membaca dan pembelajaran serius.

·         Faktor keturunan
Faktor keturunan turut mempengaruhi masalah dalam pembacaan. Contohnya, kanak-kanak kembar sama ada kembar seiras atau kembar seibu (identical and fraternal twin), menunjukkan kemampuan yang berbeza dalam pencapaian. Kembar seiras lebih rapat hubungannya dalam pencapaian daripada kembar seibu. Terdapat kajian yang mengaitkan pencapaian pelajar yang membaca dengan latar belakang keluarga membuktikan anak yang berasal daripada keluarga yang tidak tahu membaca lebih lemah dalam pencapaian membaca berbanding anak yang berasal daripada keluarga yang tahu membaca.

Pengaruh persekitaran amat penting untuk melihat pencapaian kanak-kanak. Oleh itu, beberapa perkara yang penting dalam keluarga ialah bagaimana ahli keluarga menyediakan persekitaran membaca yang banyak, minat ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak dalam pelajaran dan model bahasa yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak.

·         Faktor emosi
Kegagalan dalam membaca akan mengganggu emosi seseorang pelajar. Pelajar yang gagal membaca akan berasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas, gagal dan sebagainya. Kes penderaan, kes kanak-kanak terbiar dan kes perpecahan keluarga menyebabkan kanak-kanak berasa tertekan dan boleh mengakibatkan gangguan emosi kepada kanak-kanak tersebut.

·         Faktor sosioekonomi
Status sosioekonomi (SES) kerap menjadi salah satu pembolehubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari SES rendah selalunya mempunyai pencapaian yang rendah dan kanak-kanak dari SES tinggi selalu mendapat pencapaian yang tinggi juga. Keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.

Pemilihan Bahan Bacaan



PEMILIHAN BAHAN BACAAN
1.      Bahan bacaan yang mudah difahami
Bahan bacaan yang mudah difahami akan memberikan motivasi yang tinggi kepada kita untuk membaca dan sebaliknya bahan bacaan yang sukar menyebabkan kita tidak bermotivasi untuk meneruskan pembacaan. Sebagai pembaca, kita perlu cari bahan bacaan yang lebih mudah difahami untuk meneruskan minat dan motivasi terhadap pembacaan kita. Contohnya, jika kita termati minat dan motivasi terhadap fenomena gempa bumi kerana kita  disuakan dengan satu bahan rujukan yang dipetik daripada sebuah buku teks geologi, maka kita boleh mendapatkan maklumat tentang fenomena tersebut daripada sebuah penulisan di akhbar atau majalah tentang fenomena yang sama.
2.      Membuat semakan ringkas secara menyeluruh terhadap bahan bacaan yang akan dibaca
Semakan ringkas ini untuk mengenal pasti adakah bahan yang dibaca tersebut akan menjawab soalan yang ditanyakan dalam pemikirannya dan bersesuaian dengan tujuan dia membaca. Jika ya, maka dia akan membuat semakan ringkas dengan lebih terperinci bagi setiap bahagian yang akan dibacanya dan menetapkan bahagian yang manakah yang perlu diutamakan dalam bahan bacaan yang akan dibacanya kelak. Ketika membaca, dia akan cuba menjawab beberapa soalan asas yang dapat membantunya dalam memahami bahagian yang belum dipindahkan ke dalam pengetahuan latarnya.
3.      Menggunakan strategi aktif ketika membaca
v  Menguji pemahaman dengan menyimpan rekod terhadap isi penting bahan bacaan. Teknik ini boleh dilakukan dengan membuat parafrasa, pembayangan atau dengan bertanya “Adakah maksud ini munasabah?”
v  Mengintegrasi antara maklumat baru dan maklumat lama dengan membuat hubungan, taakulan, mencipta pembayangan atau menokok tambah apa yang telah diperkatakan oleh penulis.
v  Mengawal pemahaman dengan menggunakan sistem petanda bagi memahami perkataan yang tidak difahami dengan menentukan apakah maklumat yang penting dalam petikan. Pembaca juga boleh menggunakan strategi membaca ke hadapan, bermaksud baca dahulu dan apabila telah dapat menaakul maksud secara keseluruhan pembaca akan kembali membaca bahagian yang tidak begitu difahami bagi menguji semula pemahaman.

4.      Membuat strategi yang aktif setelah selesai membaca
v  Membuat sinopsis dan sintesis tentang bahan bacaan berasaskan plot atau idea utama, dan juga tujuan serta perspektif penulis bahan tersebut. Bagi sesebuah penulisan ekspositori yang baik, biasanya idea utama akan terdapat pada setiap ayat pertama atau ayat terakhir dalam sesuatu perenggan. Kadangkala kesimpulan pada perenggan terakhir juga merupakan sinopsis atau idea utama dalam sesuatu penulisan. Gunakan parafrasa sebagai rekod pemahaman.
v  Memberikan respons yang bersesuaian. Respons tidak semestinya satu laporan khusus setelah membaca. Respons yang baik ialah menyatakan pendapat atau pandangan sendiri terhadap bahan yang telah dibaca. Respons boleh ditulis dalam bentuk jurnal peribadi atau jurnal kemasukan bertindih.
v  Pembaca juga menggunakan strategi melawat kembali apakah tujuan asal dia membaca petikan tersebut. Adakah semua soalan yang ditanyakan sebelum membaca terjawab? Jika sudah, sejauh manakah pembaca berpuas hati dengan jawapan yang diperoleh daripada bahan tersebut. Jika belum, apakah maklumat tambahan yang diperlukan bagi menjawab soalan tersebut?
v  Menggunakan bahan bacaan dalam aplikasi. Hal ini bermaksud sesetengah bahan bacaan bertujuan memberi panduan kepada pembaca tentang sesuatu perkara yang boleh dipraktikkan. Sebagai contohnya, selepas membaca sebuah petikan tentang membersihkan lantai mozek yang kotor dengan cara yang mudah, pembaca terus melakukan proses mencuci tersebut bagi menguji dua perkara, pertama pemahamannya terhadap bahan yang dibaca, dan kedua bagi menguji kebenaran saranan penulis dalam petikan tersebut.

Tuesday, 7 May 2013


PENDEKATAN DALAM PENGAJARAN MEMBACA

Pendekatan Intertekstualiti

  • Perkataan intertekstualiti diperkenalkan sekitar abad ke-20 dalam bidang kritikan kesusasteraan, bacaan serta pendidikan bahasa di Eropah dan Amerika Syarikat.
  • Konsep ini telah digunakan dalam mengatur strategi bagi membantu pembaca memahami bahan bacaannya.
  • Di Malaysia, perkataan intertekstualiti baru sahaja ingin diperkenalkan sekitar akhir tahun 1990 an.
Definisi Intertekstualiti

  • Konsep intertekstualiti mengetengahkan sejarah penulisan yang mengiktiraf pandangan bahawa sesebuah teks difahami berdasarkan pada konteksnya.
  • Konteks bermaksud pembinaan teks lain yang berhubungan sama ada secara logic atau budaya dengan teks yang sedang dihasilkan.
  • Kristeva (1969) menegaskan bahawa “setiap teks terbina daripada percantuman pernyataan yang setiap satunya merupakan penyerapan dan penjelmaan daripada teks yang lain.”
  • Peryataan ini diperkukuhkan oleh Derrida (1972) yang menegaskan, “setiap skrip adalah skrip daripada skrip yang lain”.
  • Hal ini bermaksud setiap penulisan adalah hasil daripada bayangan penulisan yang lain, sama ada dari segi bahasa dan juga tradisinya.
  • Mengambil kira kedua-dua definisi yang dikemukakan oleh Kristeva dan Derrida menjadi asas bagi menterjemahkan intertekstualiti dalam hubungan pendidikan bacaan. Istilah tersebut dikaitkan secara langsung dengan perlakuan menghubung teks ketika membaca (Hartman, 1995).

Hubungan antara pembaca, penulis, teks dan konteks

PEMBACA

  • Pembaca ialah sumber intertekstualiti yang utama daripada perspektif kajian kesusasteraan dan literasi (Barthes, 1986; de Beaugrande, 1980; de Beaugrande & Dressler, 1981).
  • Pembaca adalah pelaku utama dan tugasnya ialah memperoleh makna daripada bahan yang dibaca.
  • Ketika mencari pertalian antara teks yang berada dalam pemikiran dan teks dalam bentuk bahan bacaan yang dibaca, pembaca membina dan mengatur makna serta memilih kandungan tekstual berdasarkan petunjuk kata yang diperoleh daripada bahan yang dibacanya (Spivey, 1990).

PENULIS

  • Penulis juga adalah pelaku utama dalam membuat sintesis pelbagai wacana, motif, dan imaginasi dengan menganyam semua suara tekstual yang berbeza ke dalam satu bentuk hasil nukilan yang bersepadu (Hartman, 1992).
  • Menurut Kristeva (1974), penulis bertanggungjawab bagi menentukan bahawa transposisi satu atau beberapa sistem lambang kepada sistem lambang yang lain berlaku dalam proses memahami teks.

TEKS

  • Secara umumnya, teks adalah sesuatu bahan yang ditulis atau dicetak sebagai bahan yang diungkapkan oleh penulis dalam hasil penulisannya.
  • Teks adalah hasil daripada proses anyaman kata dan hasil tersebutlah yang kita pegang, baca, dan nikmati.
  • Menurut Bloome dan Egan-Robertson (1993), teks juga boleh wujud dalam bentuk pengucapan,  lambang, elektronik dan lukisan.
  • Oleh itu, idea dan maklumat yang ada dalam pemikiran seseorang juga boleh dianggap sebagai teks berdasarkan pengertian ini.
  • Bloome dan Egan-Robertson (1993) mendapati idea dan fantasi yang terkandung dalam minda kanak-kanak mempengaruhi proses sosiolisasi yang aktif dan membantu pembentukan teks yang berterusan dalam diri kanak-kanak.

KONTEKS

  • Asas kepada pembinaan makna ialah bagaimana manusia memberikan reaksi sesama mereka dalam satu “konteks” yang tertentu.
  • Menurut Gumperz (1986), bagi memudahkan interaksi difahami, manusia menggunakan pelbagai kiu kontekstualiti iaitu isyarat pengucapan (tahap laras pengucapan), isyarat yang bukan pengucapan (konfigurasi gerak tubuh) dan isyarat prosodi (pola intonasi, kelantangan bunyi dan pola penekanan).
  • Interaksi sosial antara pembaca dengan penulis yang berlaku pada masa mereka mencari titik pertembungan antara mereka terletak pada konteks sebagai salah satu sumber intertekstualiti.
  • Konteks yang dibina oleh pembaca dan penulis pada persekitaran teks menjadi ruang fokal dalam membaca bagi membina makna (Bloom dan Egan- Robertson, 1993).
  • Kesan daripada interaksi berasaskan konteks ini membantu mereka membina lebih banyak teks. Inilah yang dimaksudkan oleh Kristeva bahawa intertekstualiti ialah proses memindahkan teks kepada beberapa teks, menyerapkan satu teks kepada teks yang lain dan membina percantuman daripada teks yang saling bersilangan antara satu sama lain (Kristeva, 1969).

Intertekstualiti dalam memahami bahan bacaan

  • Latihan yang kerap perlu untuk melakukan intertekstualiti.
  • Mereka perlu sedar bahawa mereka sedang melakukan proses daripada kategori intertekstualiti kerana kecekapan seseorang pelajar melakukan proses tersebut secara sedarakan menambah keupayaannya untuk memahami bahan bacaan.
  • Latihan yang kerap menjadikan pelajar lebih cekap untuk membuat intertekstualiti dan pelajar dapat menjadi pembaca yang dapat membuat rujukan dengan baik serta dapat menghasilkan bahan penulisan yang lebih lengkap dengan maklumat yang pernah dirujuknya.

Kategori Intertekstualiti
Tiga kategori pertalian intertekstual yang digunakan bagi mengesan respons pembaca terhadap bahan bacaan yang boleh digunakan oleh guru dalam pendekatan ini (Hartman, 1995), iaitu:

ENDOGENIUS  UTAMA (1)

  • Rujukan dalam teks yang sama yang dilakukan pembaca ketika membaca iaitu dilakukan antara perkataan dengan perkataan, frasa dengan frasa, ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan atau bab dengan bab.
  • Pembaca akan mencari petanda yang dapat membantu mereka memahami teks dengan mudah.
  • Rujukan dibuat secara linear iaitu merujuk pada awal teks bagi memahami bahagian selanjutnya sama ada pada tengah atau penghujungnya serta boleh dibuat secara songsang iaitu merujuk pada bahagian tengah atau akhir teks bagi memahami maksud teks yang masih samar  pada bahagian awalnya.
  • Pergerakan ini dilakukan bertimbal balik berasaskan kecekapan pembac amelakukan proses intertekstualiti ini dan guru boleh melatih pelajar melakukan aktiviti ini dengan kerap agar mereka mempunyai kemahiran yang cukup.

ENDOGENIUS  KEDUA (2)

  • Rujukan antara teks yang berbeza yang dilakukan pembaca ketika membaca iaitu rujukan antara bahan dalam mata pelajaran lain atau jenis bahan bacaan lain seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya.
  • Pelajar dilatih agar merujuk bahan yang berkaitan bagi mendapatkan kepastian terhadap maksud teks yang sedang dibacanya, mendapatkan maklumat tambahan bagi menjelaskan, mencirikan, menggunakan istilah atau perkataan lain, dan sebagainya dalam proses membaca.

EKSOGENIUS

  • Rujukan luar teks yang dilakukan pembaca ketika membaca.
  • Sumber rujukan luar iaitu pengetahuan latar pembaca seperti pergaulan harian, tempat tinggal, kebudayaan, dan sebagainya mempengaruhi keupayaan pelajar melakukan rujukan eksogenius.
  • Tugas guru adalah menggerakkan semua sumber ini agar pelajar sedar dan dapat melakukan eksogenius ketika membaca.

Wavy Tail